Friday, June 11, 2010

Biawak yang beriman


Diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wan-Nihayah bahawa al-Baihaqiy menceritakan dari Abu Mansur Ahmad bin Ali al-Damghaniy dari daerah Namin di Baihaq, dalam sebuah kisah yang disampaikan dari Umar r.a :

Rasulullah sedang berjalan bersama dengan sekumpulan para sahabat, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi dari Bani Sulaim ke hadapan Rasulullah. Beliau membawa bersamanya seekor biawak padang pasir (dlm bahasa Arab dikenali sebagai 'dhab' yang corak badan seperti buaya bersaiz biawak tetapi lidah tidak bercabang) yang ditangkapnya dan bercadang untuk membakar haiwan itu untuk dimakan.

Melihat ramai yang berjalan itu, beliau tertarik untuk mendekati dan bertanya siapakah gerangan yang sedang mereka iringi. Apabila diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi nabi, maka dia terus mendekati nabi lantas berkata: "Demi Tuhan Lata dan Uzza, tiadalah sesuatu yang terdapat di alam ini yang lebih ku benci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa, tentulah aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat berita menggembirakan hatiku dan hati semua manusia yang berkulit hitam, putih dan merah serta selainnya!"

Umar al-Khattab menjadi marah, lalu bangkit dan berkata: "Wahai nabi! Biarlah saya mengakhiri hidupnya!"

Nabi s.a.w tenang menjawab permintaan Umar: 'Wahai Umar! Tidakkah engkau tahu bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi nabi?"

Nabi kemudiannya berkata kepada Arab Badwi itu: "Apa yang menyebabkan engkau berkata demikian? Sepatutnya engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku?"
Arab Badwi tersebut tidak mengalah bahkan sebaliknya berkata: "Demi Tuhan Lata dan Uzza! Aku tidak akan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah biawak ini beriman kepadamu," katanya lalu melemparkan biawak itu ke hadapan nabi s.a.w.

Nabi s.a.w memanggil biawak itu. Kedengaran biawak itu menjawab dengan bahasa Arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir: "Ya wahai nabi s.a.w!"

Nabi bertanya; "Kepada siapakah engkau beriman?"

Jawab biawak itu: "Saya beriman kepada Tuhan yang dilangit itu 'arasyNya, dibumi itulah kekuasaanNya dan di lautan itulah jalanNya, dan di syurga itu rahmatNya, dan di neraka itu azbNya!"

Tanya nabi lagi: "Aku ini siapa wahai biawak?"

Jawab si biawak: "Tuan adalah utusan Allah, yang memiliki sekalian alam! Amatlah beruntung orang yang mendokong perjuangan tuan dan binasalah orang yang mendustakan tuan!"

Mendengar kata-kata biawak itu, Arab Badwi itu lantas berkata: "Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci, tetapi hari ini engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri, engkau amat kukasihi zahirku dan batinku. Kemudian beliau mengucapkan kalimah syahadah di hadapan semua yang hadir: "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah dan nabi adalah pesuruhNya."

Lalu Rasulullah s.a.w berkata: "Syukur kepada Allah yang telah menganugerahkan hidayahNya kepadamu, sesungguhnya Islam ini adalah yang paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya, dan ia tidak diterima tanpa solat, dan solat pula tidak diterima melainkan dengan al-Quran."

Jawabnya: "Kalau begitu ajarlah saya al-Quran itu, wahai Nabi! Nabi pun mengajarnya membaca surah al-Ikhlas.

Beliau berkata: "Saya tak pernah mendengar kata-kata yang lebih hebat daripada ini!"

Nabi menambah: "Ini adalah perkataan Allah, bukannya sajak, jika engkau membaca surah al-Ikhlas ini sekali, ganjarannya di sisi Allah seumpama engkau membaca sepertiga dari al-Quran.Jika kau baca 2 kali seumpama dua sepertiga dari al-Quran dan jika engkau membaca tiga kali seumpama engkau telah membaca keseluruhan al-Quran."

Jawab orang itu: "Tuhan itu adalah tuhan kami,Dia menerima dari kita sedikit tapi membalasnya dengan banyak"

Nabi bertanya kepadanya: "Adakah kamu memiliki harta"

Jawab beliau: "Tiada seorang pun dari Bani Sulan yang lebih miskin dari saya."

Nabi bersabda kepada para sahabat: "Berikan kepadanya apa-apa yang kamu ada!"

Para sahabat memberikannya bantuan sehinggakannya mendapat harta yang amat banyak terkumpul. Kemudian Abd Rahman bin Auf r.a. berkata kepada nabi: "Wahai Rasulallah saya memiliki seekor unta yang hamil 10 bulan, yang sederhana besarnya, saya perolehi dalam perang tabuk, sekarang saya hendak mendekatkan diri kepada Allah.Saya ingin menghadiahkannya kepada saudara baru kita ini.

Nabi s.a.w. bersabda: " Engkau menceritakan tentang untamu yang telah engkau hadiahkan padanya, sekarang aku akan menceritakan bahagianmu yang diberikan Allah sebagai balasan di akhirat.Allah s.w.t. akan menganugerahimu di akhirat unta yang diperbuat dari permata hijau, tengkuknya dari permata kuning memiliki pelana yang hebat dan ia akan melintasi titian sirat dengan pantas seperti kilat, semua orang akan merasa iri kepadamu pada hari kiamat."

Kata Abd Rahman: "Saya redha dengannya wahai nabi."

Arab itu pun keluar dari kawasan itu.Sekonyong-konyong datang kaumnya dari Bani Sulan seramai seribu orang menaiki seribu ekor unta membawa bersama mereka seribu pedang dan lembing.

Dia bertanya kemanakah haluan kamu? Mereka menjawab: "Kami ingin memerangi orang yang menghina tuhan kita!"

Kata Arab Badwi itu kepada kaumnya: "Jangan! Aku sendiri telah beriman dengannya!"

Lalu kesemua kaumnya beriman kepada Rasulullah.



*Artikle ni sy copy dari majalah solusi =)

Ketaatan dan cinta sahabat yang mendalam terhadap Rasulullah. Betapa cintanya sahabat terhadap baginda sehingga sanggup untuk membunuh siapa sahaja yg menentang baginda. Subhanallah.sungguh mantap iman mereka.. =)

Doa Seorang Kekasih



Oh Tuhan,,
Seandainya telah Kau catatkan
Dia milikku tercipta untuk diriku
Satukanlah hatinya dengan hatiku
Titipkanlah kebahagiaan


Ya Tuhanku Yang Maha Pemurah,,
Beri kekuatan jua harapan
membina diri yang lesu tak bermaya
Semaikan setulus kasih dijiwa
Ku pasrah kepadaMu kurniakanlah aku
pasangan yang beriman bisa menemani aku
Supaya ku dan dia dapat melayar bahtera
ke muara cinta yang Engkau redhai,,

Ya Allah,,
Ku mohon apa yang telah Kau takdirkan
Ku harap dia adalah yang terbaik buatku
Kerana Engkau tahu segala isi hatiku
Pelihara daku dari kemurkaanMu

Ya Tuhanku Yang Maha Pengasih,,
Engkau sahaja pemeliharaku
Dengarkan rintihan hambamu ini
Jangan Engkau biarkanku sendiri
Agarku bisa bahagia
Walau tanpa bersamanya
Gantikanlah yang hilang tumbuhkan yang telah patah
Ku inginkan bahagia di dunia dan akhirat
PadaMu Tuhan ku mohon...
Segala..

siapa yg meminati lagu2 nasyid pasti dah familiar dengan lagu ni..nyanyian kumpulan UNIC..lagu ni memang aku suka sangat..emm,aku masih menunggu insan itu..entah bila waktunya akan tiba..Ya Allah, sungguh Kau mengetahui segalanya yang terbaik buatku..hanya padaMu aku berserah Ya Allah..kurniakan aku pasangan yang soleh yang bisa membimbingku menuju cintaMu Allah.

Kenapa aku??


Kenapa aku sering diuji?

Firman Allah, Maksudnya: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan; ‘Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui yang manakah orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui siapakah yang dusta.”

(Al-Ankabut : 2-3)


Kenapa aku tidak dapat apa yang dimpikan?

Firman Allah, Maksudnya: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, sesungguhnya Allah amat mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

(Al-Baqarah : 216)


Kenapa aku diuji ujian seberat ini?

Firman Allah, Maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan dengan kesanggupannya.”

(Al-Baqarah : 286)


Bagaimana nak hadapi ujian ini?

Firman Allah, Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh (di medan perjuangan), dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

(Ali Imran : 200)


Firman Allah lagi, Maksudnya: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

(Al-Baqarah : 45)


Apa yang aku boleh dapat dari semua ini?

Firman Allah, Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan (bayaran) syurga untuk mereka..”

(At-Taubah : 111)